Thursday, June 11, 2009

Sejarah Perkembangan Sekolah



Sekolah Kebangsaan Senibai telah dibuka pada 14 Februari 1956 atas perintah Pejabat Pelajaran. Perasmian sekolah pada ketika itu telah dihadiri oleh Wesak Routin, Tok Batin dan beberapa orang ibu bapa murid. Semasa pembukaan sekolah, seramai 27 orang murid telah mendaftar untuk bersekolah dan mereka terdiri dari anak - anak Masyarakat Asli yang tinggal berdekatan dengan kawasan sekolah. Guru Besar pertama ialah Allahyarham Tuan Haji Nordin bin Ismail.
Bangunan sekolah pada ketika itu hanya sebuah dan dibina dengan menggunakan tiang kayu bulat, berdindingkan pelupuh, beratapkan daun bertam dan berlantaikan tanah. Pada tahun 1959, bangunan sekolah ini telah diperbaki dan dibina dengan menggunakan atap zink dan dan berlantaikan simen.
Pada tahun 1988, tiga bilik darjah tambahan telah dibina secara bergotong - royong. Bermula pada tahun 1997, Sekolah Kebangsaan Senibai telah diambil sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Tahap 2 iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 telah dibuka seterusnya secara lansung telah melibatkan pertambahan beberapa orang guru dan bilangan murid - murid juga turut bertambah. Kumpulan pertama murid - murid yang mengambil UPSR bagi sekolah ialah pada tahun 1999.
Setelah beberapa tahun Kementerian Pelajaran mengambil - alih pendidikan di sekolah ini, Sekolah Kebangsaan Senibai telah berubah wajah dengan beberapa pembinaan bangunan baru. Bermula pada tahun 1999, dua unit rumah guru telah dibina dengan kos bernilai RM 150 ribu. Seterusnya pada tahun yang sama, dua blok asrama iaitu Asrama Putera dan Asrama Puteri telah dibina dengan kos bernilai RM 1.3 juta.
Seterusnya pada tahun 2002, Sekolah Kebangsaan Senibai menerima peruntukkan untuk membina tiga blok bangunan sekolah yang serba lengkap dengan kos bernilai RM 3.5 juta. Bangunan baru telah mula digunakan pada tahun 2003 sehingga kini. Terdirinya bangunan - bangunan baru di sekolah ini secara langsung telah melenyapkan semua bangunan asal Sekolah Kebangsaan Senibai sebelumnya yang mungkin menjadi memori kehidupan murid - murid Masyarakat Asli untuk mendapatkan pendidikan awal di sekolah sebelum dan selepas merdeka di Tanah Melayu khususnya di Daerah Kuala Pilah.


Lipatan Sejarah

Bangunan Sekolah lama menempatkan 3 bilik darjah


Bangunan bilik darjah lama yang menggunakan besi jeriji



Bangunan Asrama Perempuan dan Dewan Makan
yang dibina oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ( JHEOA )


Bangunan Asrama Lelaki



Murid - murid sekolah
Sekolah Kebangsaan Senibai terdiri daripada murid - murid dari kalangan Masyarakat Asli berketurunan Asli Temuan dan Asli Semelai. Hanya beberapa orang sahaja murid Melayu yang bersekolah di sekolah ini. Murid - murid ini datangnya dari beberapa buah perkampungan Masyarakat Asli di antaranya :
a) Kampung Senibai
b) Kampung Air Lerek
c) Kampung Air Pulasan
d) Kampung Air Runtuh
e) Kampung Kelapi
f) Kampung Bari
g) Kampung Pabai, Miku
h) Kampung Air Rengas
i) Kampung Sungai Raya
j) Kampung Lubuk Temenggalan
k) Kampung Batu Peti
l) Kampung Klebang
m) Kampung Jeram Padang

Murid - murid ini datang ke sekolah dengan menaiki bas atau van sekolah yang disediakan secara percuma oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Bagi murid - murid yang jauh akan tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Senibai.

Senarai Nama Guru - Guru Besar


1. Encik Nordin bin Ismail
14 Februari 1956 hingga 20 Februari 1986

2. Encik Kamaruzaman bin Mohd Zin
20 Februari 1986 hingga 1 Julai 1987

3. Encik Sulaiman bin Ahmad
17 November 1987 hingga 30 Ogos 1989

4. Ustaz Abd Rani bin Kedong
30 Ogos 1989 hingga 23 Februari 1997

5. Encik Ahmad bin Mohd Yusof
1 Mac 1997 hingga 1 Julai 1999

6. En Ab Rahman bin Ismail
1 Julai 1999 hingga sekarang